SHAH ALAM, 20 Ogos 2025 – Selangor Industrial Corporation (SIC), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), hari ini menganjurkan kempen derma darah bersama Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR). Bertemakan SIC40: Meraikan Nyawa, Menyelamatkan Nyawa. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usahaTanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SIC dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Program yang bertempat di ibu pejabat SIC ini telah berjaya menarik lebih 125 orang peserta termasuk kakitangan SIC, rakan korporat dan orang awam. Selain itu, turut merangkumi aktiviti derma darah, pemegang taruh, pemeriksaan kesihatan percuma dan ceramah kesedaran mengenai kesihatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIC, Tuan Haji Saharom Mohni, menyifatkan ulang tahun ini sebagai “masa untuk mensyukuri dan memikul tanggungjawab” serta menzahirkan penghargaan kepada komuniti setempat atas sokongan berterusan mereka. “Kita bukan sahaja meraikan ulang tahun ke-40, malah ingin menunjukkan bahawa SIC prihatin dan sentiasa dekat di hati komuniti. Dengan menggalakkan pendermaan darah dan pemeriksaan kesihatan berkala, kita dapat melindungi nyawa serta membentuk masyarakat yang lebih sihat,” katanya.
SIC turut merakamkan penghargaan kepada pasukan derma darah HTAR, semua penderma darah, serta penaja Yakult, Seasons dan Vitagen atas sumbangan barangan penghargaan kepada para peserta.
MENGENAI SELANGOR INDUSTRIAL CORPORATION
Selangor Industrial Corporation (SIC) merupakan sebuah organisasi yang berdiversifikasi yang terlibat dalam pelbagai cabang perniagaan dengan aktiviti utama perniagaan termasuk perdagangan bahan binaan, insurans, digital dan teknologi pintar. SIC juga telah meneroka
perniagaan yang berasaskan tenaga hijau lestari.
Perhubungan Media SIC:
Syahrazad Md Noh, Tel: 019 207 7921 atau emel : syahrazad@sic.com.my
Airol Ezanie Limin, Tel: 018 987 7951 atau emel : airol@sic.com.my

