SHAH ALAM – Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), hari ini memeterai Perjanjian Usahasama (JVA) bersama Data Centre Union Sdn Bhd (DC Union) bagi membangunkan sebuah pusat data berteknologi tinggi di Cyberjaya yang dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi digital negeri Selangor.
Menerusi kerjasama ini, SIC berperanan mengoptimumkan aset dan pembangunan strategik di Cyberjaya, manakala DC Union menyumbang kepakaran teknikal, pelaburan serta pengalaman industri dalam sektor pusat data dan teknologi digital.
Bernilai RM2.5 billion, projek pusat data berkapasiti 65 megawatt (MW) ini akan dibangunkan oleh syarikat usahasama antara SIC dan DC Union iaitu SIC Quantum Data Centre Sdn Bhd (SQDC). Ia bakal dilengkapi teknologi penyejukan rendaman penuh (full immersion cooling technology) bagi memastikan kecekapan tenaga yang lebih tinggi berbanding pusat data konvensional.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIC, Haji Saharom Mohni, berkata usahasama ini merupakan satu pencapaian penting kepada SIC dan Kumpulan PKNS serta DC Union dalam meneroka sektor ekonomi digital yang berpotensi tinggi.
“Melalui kerjasama ini, SIC berperanan sebagai rakan strategik yang menyokong pembangunan infrastruktur digital negeri, manakala kepakaran dan pengalaman DC Union akan membantu memastikan projek ini dilaksanakan mengikut standard industri bertaraf antarabangsa.
“Pembangunan pusat data ini merupakan projek pertama seumpamanya dalam ekosistem Kumpulan PKNS dan menjadi satu langkah strategik dalam memperkukuh penyertaan kumpulan dalam industri digital serta teknologi berimpak tinggi yang berkembang pesat.
“PKNS telah memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan negeri dengan menyediakan platform strategik kepada anak-anak syarikat untuk meneroka sektor pertumbuhan baharu yang mampu menjana nilai ekonomi jangka panjang.” katanya.
Beliau berkata, kemudahan pusat data ini berpotensi menjadi platform sokongan kepada agenda Selangor Smart State melalui penyediaan infrastruktur digital yang lebih selamat, cekap dan berdaya tahan.
Kemudahan ini dijangka dapat menyokong keperluan penyimpanan dan pemprosesan data pelbagai organisasi termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta sektor swasta yang memerlukan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi.
Pusat data ini juga akan mengintegrasikan penggunaan tenaga boleh baharu termasuk tenaga solar bagi menyokong agenda pembangunan mampan serta mengurangkan jejak karbon operasi dalam jangka panjang.
Selain pembangunan infrastruktur digital, projek ini akan turut merangkumi penubuhan Sovereign AI Command Centre dan Centre of Excellence melalui syarikat usahasama SQDC yang bakal memperkukuh keupayaan kecerdasan buatan (AI), keselamatan data dan inovasi digital negara.
Dalam usaha membangunkan bakat tempatan, SQDC turut menyasarkan penghasilan sekurang-kurangnya 500 jurutera bertauliah NVIDIA setiap tahun bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang AI, pengkomputeran awan dan pusat data.
Ketua Pegawai Eksekutif Data Centre Union Sdn Bhd, Tecsun Yeep berkata, perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) di seluruh dunia telah meningkatkan permintaan terhadap infrastruktur digital dan pengkomputeran berprestasi tinggi pada kadar yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Malaysia mempunyai peluang yang amat besar untuk muncul sebagai hab AI dan infrastruktur digital terkemuka di Asia Tenggara. Kerjasama strategik ini merupakan satu langkah penting dalam membangunkan keupayaan digital berdaulat yang mampu menyokong inovasi, menarik pelaburan strategik serta membantu organisasi memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi AI.
“Visi kami melangkaui pembangunan infrastruktur semata-mata dengan memberi tumpuan kepada pembinaan ekosistem digital yang menyokong pembangunan bakat, inovasi teknologi dan kolaborasi strategik antara sektor awam dan swasta.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Selangor, PKNS dan SIC dalam membangunkan infrastruktur digital generasi baharu yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara serta memperkukuh daya saing Malaysia sebagai hab teknologi dan AI serantau,” katanya.
Bagi memastikan pelaksanaan projek yang dirancang, SQDC telah melantik Vinodh Mariappa sebagai Pengarah Urusan yang akan menerajui pembangunan dan pelaksanaan keseluruhan projek pusat data berteknologi tinggi bernilai RM2.5 bilion tersebut.
“Dalam peranan tersebut, beliau akan bertanggungjawab memacu pelaksanaan strategik projek, pembangunan infrastruktur, pengurusan operasi serta penyelarasan dalam pelbagai aspek pembangunan bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut piawaian industri bertaraf antarabangsa dan mencapai objektif yang ditetapkan.
Projek ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi digital Selangor, memperkukuh pembangunan bakat tempatan serta mengukuhkan kedudukan negeri sebagai hab teknologi, pusat data dan kecerdasan buatan (AI) utama negara.
Perhubungan Media SIC:
Syahrazad Md Noh, Tel: 019 207 7921 atau emel : syahrazad@sic.com.my
Airol Ezanie Limin, Tel: 018 987 7951 atau emel : airol@sic.com.my

