Oleh Nur Syazwani – 3 Ogos 2022
Pada 14 Julai 2022 yang lalu, majlis solat hajat dan perasmian gudang sejuk beku baharu milik Ben Daud Industries (BDI) yang bertempat di B-G-32A, One Kesas, Jalan Bayu Laut 15E/KS09, Kota Bayu Emas, Pendamar, 41200 Klang telah dijalankan. Ia dihadiri dan dirasmikan oleh Yang Berusaha, Encik Zahari Kechik, Setiausaha Politik kepada YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Ben Daud Industries Sdn Bhd telah ditubuhkan pada Mac 2016 untuk menjadi pemborong dan peruncit Bumiputera dalam industri sejuk beku. Selmedia Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat Selangor Industrial Corporation, SIC telah menjadi pemegang saham majoriti sebanyak 70% dalam Ben Daud pada tahun 2021 yang lalu. Ben Daud yang telah mengimport daging halal pertamanya dari negara India sebanyak 1 kontena 28 tan ketika itu menjangkakan akan mengimport satu lagi kontena dalam masa satu hingga dua bulan ini.
Tn Ar Wan Muhd Hisham Wan Hawari, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Industrial Corporation dan Pengarah Ben Daud Industries percaya bahawa Ben Daud mampu untuk meransang sosio ekonomi rakyat dan membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada bumiputera melalui skim francais node/ mart Ben Daud.
Skim francais ini akan diuruskan sepenuhnya oleh Ben Daud sebagai francaisor dan akan menawarkan latihan, sokongan penjenamaan, sistem perniagaan dan pemasaran bersepadu pada semua francaisi. Skim ini akan disokong oleh sistem ERP dan POS yang diintegrasikan ke pusat pengedaran Ben Daud. Selain itu, skim francais ini juga akan menyediakan platform jualan atas talian menggunakan platform Seldec, iaitu platform penghantaraan dan bantuan mendapatkan pembiayaan untuk francaisi.
Skim francais Ben Daud menawarkan modal permulaan yang rendah jika dibandingkan dengan francais yang lain di pasaran dan sesuai untuk individu, organisasi, perkongsian serta komuniti yang ingin menjana pendapatan pasif. Jadi ia sesuai untuk francaisi yang tidak mempunyai modal yang besar. Pusingan modal atau ROI dijangka dapat diperolehi dalam masa 4 ke 5 tahun.
Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha, Encik Zahari Kechik, Setiausaha Politik kepada YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan disaksikan oleh Tuan Ar Wan Muhd Hisham Wan Hawari, Ketua Pegawai Ekesekutif SIC dan Pengarah Ben Daud dan Tuan Ir. Ts Haji Ahmad Feruz bin Izharudin, Ketua Exco SIC.